Ahlan Wasahlan..

Allah berfirman yang bermaksud:
"Hai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Janganlah kamu mengejek sebahagian yang lain. Sukakah kamu memakan daging saudaramu yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." ( Al-Hujurat: 12).

Monday, December 27, 2010

Muhasabah Diri

Bila kita sendiri lupa untuk bersyukur dan berterima kasih pada Allah atas segala apa yang diberikan kepada kita, sudah semestinya rasa puas itu tidak pernah terbit dari hati manusia itu sendiri. Perasaan inginkan sesuatu yang lebih banyak atau harta yang lebih akan sentiasa mengaburi hati mereka yang alpa tentang kekuasaan Yang Maha Esa. Mereka serta merta akan lupa pada tanggungjawab mereka sebagai hamba Allah di muka bumi ini. Mereka juga akan lalai dengan urusan duniawi mereka sedangkan akhirat semakin menghampiri. Apabila ditimpa kesusahan, barulah bergantung harap padaNya. Ada juga diantara mereka yang terus berputus asa sebelum menemui penyelesaiannya.

Manusia..
Harapan itu sentiasa ada kecuali manusia itu sendiri yang menidakkannya. Jikalau hidup sentiasa ditimpa malang atau susah, tidakkah kita terfikir bahawa masih ada manusia lain yang lebih malang atau susah daripada kita? Jikalau kita merasa hidup kita susah kerana hidup di dalam bilik yang kecil atau rumah usang, tidakkah mereka yang hidup di bawah jambatan itu lebih susah? Ada diantara kita sentiasa merungut apabila dihidangkan makanan yang tidak menepati citarasa kita sedangkan mereka yang hidup susah menangis apabila menjamah sepinggan nasi kosong.

Manusia..
Hidup, mati, rezeki & jodoh pertemuan itu sudah ditentukan Allah terhadap setiap manusia di muka bumi ini. Allah tidak akan sekali-kali membiarkan hambanya terseksa sekiranya mereka terus beriman dan bertakwa kepadaNya. Walaupun ditimpa dengan pelbagai dugaan, janganlah sekali-kali terfikir untuk berpaling tadah dari jalan Allah. InsyaAllah, berkat usaha dan doa, Allah tidak akan lupa untuk membantu kita. Pengorbanan itu sememangnya perit tetapi manisnya akan dirasai kelak. Tetapi janganlah sekali-kali tersasar daripada landasan agama yang benar.

Manusia..
Setiap sesuatu yang terjadi itu ada hikmahnya. Walaupun hikmah itu kadangkala tidak terlihat oleh mata kasar, namun bagi mereka yang betul-betul yakin akan ketentuan Allah, hikmah sesuatu kejadian itu sentiasa wujud di depan mata. Seandainya kita diuji dengan seberat-berat dugaan dan selepas itu kita masih diberikan peluang untuk memohon pertolongan serta keampunan daripada Allah, bersyukurlah kerana ada diantara kita yang tidak sempat kembali kejalan yang benar. Beringatlah juga wahai saudara-saudaraku, tidak semestinya yang jahat saja akan ditimpa dugaan, tetapi dugaan bagi orang-orang yang baik adalah lebih berat. Sesungguhnya Allah hanya ingin menguji sejauh mana kekuatan iman hamba-hambaNya.

Manusia..
Hidup di dunia ini sememangnya sukar. Janganlah terlalu berharap agar segalanya mampu kita lakukan dengan sempurna tanpa memohon petunjuk atau pertolongan daripada Allah. Halal dan haram juga tidak patut diketepikan. Janganlah terlalu mengejar kekayaan sehinggakan kita lupa halal dan haramnya sesuatu perkara itu. Ingatlah bahawa semuanya akan dihitung di akhirat kelak. Meski di dunia semuanya baik-baik sahaja namun siapa tahu keadaan kita di akhirat kelak. Wallahualam..

Sama-samalah kita muhasabah diri.

No comments:

Post a Comment