Ahlan Wasahlan..

Allah berfirman yang bermaksud:
"Hai orang-orang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa. Janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Janganlah kamu mengejek sebahagian yang lain. Sukakah kamu memakan daging saudaramu yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." ( Al-Hujurat: 12).

Saturday, October 9, 2010

Suka hati mereka lah..tapi............

Tatkala sedang menunggu giliran di ATM, terdengarlah suara gadis-gadis sedang berbual girang. Tergerak hatiku untuk menoleh ke arah suara-suara tersebut. Mataku tepat memandang kearah sekumpulan gadis yang rancak berbual. Beberapa pengguna ATM yang lain turut melihat gelagat mereka. Ada di kalangan mereka berbaju sendat, berseluar pendek dan pelbagai fesyen lain. Seorang daripada mereka pula sedang menikmati sepuntung rokok di jarinya. Pandanganku beralih arah kepada sekumpulan jejaka yang sedang mengusik gadis-gadis tersebut. Sungguh, kata hatiku, mereka gadis-gadis muda yang masih panjang perjalanan hidupnya namun dengan melihat keadaan serta tingkah laku mereka saat itu, ingin sahaja hati ini menafikan mereka mampu memiliki masa depan yang cerah. Kata orang, "suka hati mereka lah, biarkan sahaja". Tapi, kerana sikap inilah juga tidak ada perubahan positif kepada setiap yang negatif. Sikap endah tak endah masyarakat itulah yang sebenarnya menjadi faktor kepada masalah sosial yang semakin menjadi-jadi dewasa ini. Walaupun ada dikalangan kita yang prihatin tetapi bilangan itu tidak tertanding dengan bilangan mereka yang tidak kisah akan perkara ini.
Sebagai insan yang bergelar wanita, sesungguhnya hati ini amat sedih dan hiba. Jika di negara luar, mereka tentunya tidak mengambil serius tentang hal-hal seperti ini kerana itu sudah menjadi kebiasaan bagi mereka. Namun, bagi kita di Malaysia, semua itu bukanlah sesuatu yang biasa tetapi luar biasa. Jikalau suatu masa dahulu, anak-anak gadis manis berbaju kurung dan berkebaya, tetapi kini,T-shirt dan Jeans menjadi penggantinya. Kata hatiku, itu bukanlah sesuatu yang salah, namun manusia itu sendiri yang menjadikan ianya satu masalah. Pemilihan pakaian yang baik dan sedap mata memandang itu penting. Walau bagaimanapun, semua itu terpulang kepada kita sendiri. Jikalau masih belum sedia menerima perubahan, cubalah fikir-fikirkan dahulu sebab dan akibat jika perkara itu dilakukan. Setiap sesuatu yang perlukan perubahan semestinya untuk menjadi yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment